Wednesday, January 10, 2007

Ahlan wa Sahlan 2007M & 1428H

Sedar tak sedar sudah 10 hari kita berada dalam tahun 2007M dan tidak sampai 10 hari lagi kita akan melangkah ke tahun 1428H. Sungguh cepat dirasakan masa berlalu…lebih-lebih lagi di saat terlalu banyak tugas yang menanti dan menuntut komitmen kita. Ya Allah berilah kami kekuatan!!!

Bagi sesetengah orang, kedatangan tahun 2007M & 1428H bermakna bertambahnya setahun lagi umur mereka. Masih berkesempatan untuk menyelesaikan tugas-tugas yang belum terlaksana dan memperbaharui azam yang belum tertunai di tahun sebelumnya. Mungkin atas dasar itulah kedatangan setiap kali ‘tahun baru’ dirai dan dirayakan dengan pelbagai bentuk sambutan yang melalaikan.

Bagi kita, kedatangan tahun 2007M & 1428H patut disambut dengan penuh rasa kesyukuran. Syukur kerana masih diberi peluang dan kesempatan untuk memperbaiki diri, meningkatkan amal ibadah, berbuat kebajikan, menambah ilmu dan sebagainya. Firman Allah s.w.t.;

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras". (Surah Ibrahim, 14:7)

Kedatangan tahun 2007M & 1428H juga patut diraikan dengan membuat muhasabah (post mortem) terhadap amalan-amalan yang telah dilakukan sepanjang tahun 2006M/1427H. Apakah ada pembaikian, lebih baik atau lebih teruk berbanding tahun sebelumnya? Berakhirnya tahun 2006M/1427H tidak bermakna segala amalan tersimpan begitu sahaja dalam lipatan kalendar 2006M/1427H. Hakikatnya, segala amalan buruk baik kita tersimpan rapi dalam buku catatan amal yang pasti akan dibuka semula suatu masa nanti. Sudahkah kita bersedia untuk menghadapi masa itu nanti? Kata-kata Sayyidina `Umar al-Khattab berikut wajar diambil iktibar;
“Hisablah diri kamu sendiri sebelum kamu dihisab (al-Ghazali, 1990).

Sebagai seorang Muslim, pelbagai perkara perlu dimuhasabahkan;

  • Sebagai hamba Allah, sudahkah kita mematuhi sungguh-sungguh segala perintah Allah dan Rasul? Melaksanakan perkara wajib dan sunat serta menjauhi perkara haram dan makruh seboleh mungkin?
  • Sebagai wanita, sudahkah kita menjaga maruah dengan memastikan aurat ditutup dan dipelihara betul-betul menurut piawaian yang telah ditetapkan syarak?
  • Sebagai anak, sudahkah kita menunaikan tanggungjawab terhadap kedua ibu bapa sebaik mungkin? Mentaati, berbakti dan mendoakan keduanya serta memuliakan sahabat-sahabat mereka?
  • Sebagai pelajar, sudahkah kita melaksanakan tanggungjawab terhadap guru dan ilmu yang diperolehi? Menghormati guru dan memanfaatkan ilmu pada jalan yang diredhai-Nya?
  • Sebagai warga masyarakat, sudahkah kita menunaikan hak terhadap rakan-rakan, jiran dan masyarakat keseluruhannya? Menghubungkan silaturrahim dan melaksanakan amar ma`ruf nahi munkar mengikut kemampuan?

Jika dihitung-hitung semuanya, cukup banyak tanggungjawab yang tergalas di bahu setiap daripada kita. Andai di dunia lagi kita dapati banyak tanggungjawab yang masih belum selesai, bagaimana mungkin kita hendak berhadapan dengan Allah s.w.t. nanti?

Oleh yang demikian, kedatangan tahun 2007M & 1428H ini sekurang-kurangnya berazamlah kita untuk memperbaiki dan mempertingkatkan diri dalam amal ibadah. Jika sebelum ini ada melewat-lewatkan penunaian solat fardhu, tahun ini berazamlah untuk menunaikannya pada awal waktu. Jika sebelum ini sering solat sendirian, tahun ini berazamlah untuk solat berjemaah. Jika sebelum ini jarang-jarang pegang al-Quran, tahun ini berazamlah untuk khatam al-Quran. Jika sebelum ini kurang berpuasa sunat, bersolat malam dan bersedekah, tahun ini berazamlah untuk melazimi diri dengan puasa sunat, solat malam dan sedekah. Begitu juga dengan amal ibadah lain yang dijanjikan dengan pelbagai bentuk ganjaran dan pahala di sisi-Nya. Bahkan ia merupakan suatu jalan untuk bertaqarrub dan mendapat kecintaan Allah s.w.t. sebagaimana yang dinyatakan dalam Hadith berikut;

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah s.w.t. telah berfirman: Barangsiapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku isytiharkan perang terhadapnya. Tidaklah seseorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan melakukan sesuatu amalan yang lebih Aku sukai selain daripada apa yang telah Aku fardhukan kepadanya. Dan tidaklah seorang hamba itu sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan mengerjakan amalan-amalan sunat, kecuali Aku akan mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, Aku adalah pendengarannya yang dia mendengar dengannya, penglihatannya yang dia melihat dengannya, tangannya yang dia mengambil sesuatu tindakan dengannya dan kakinya yang dia berjalan dengannya. Jika dia memohon sesuatu daripada-Ku, Aku akan memberinya dan jika dia memohon perlindungan daripada-Ku, maka Aku akan melindunginya". (Riwayat al-Bukhari)

No comments: