Tuesday, December 26, 2006

ETIKA = NILAI = MORAL = NORMA?

(Bahagian II)
Di bahagian kedua ini, istilah NORMA dihuraikan.

Para sosiologi mendefinisikan norma sebagai suatu garis panduan dan peraturan kelakuan tentang bagaimana individu dalam sesebuah masyarakat sepatutnya berkelakuan dan bertindakbalas melalui percakapan mahupun perbuatan dalam sesuatu keadaan (Doob, 2000; Calhoun, 1994; Bryjak, 1994). Hanya peraturan yang telah diterima baik dan dipatuhi oleh setiap anggota masyarakat sehingga menjadi kebiasaan sahaja diiktiraf sebagai norma. Hal ini kerana norma berperanan untuk mengawal kelakuan anggota masyarakat, mentakrifkan secara jelas bentuk perhubungan dalam masyarakat dan mencerminkan nilai-nilai yang dipegang oleh masyarakat tersebut (Citra Karya, 1994).

Norma terbentuk daripada nilai dan sikap individu dalam masyarakat itu sendiri. Nilai yang dipegang oleh individu akan membentuk sikap diri terhadap sesuatu perkara. Sikap tersebut seterusnya membentuk peraturan-peraturan hidup yang dinamakan sebagai norma masyarakat. Oleh kerana itu, kebanyakan norma dilihat sebagai multi-nilai iaitu mengandungi pelbagai nilai dan nilai yang sama turut boleh digunapakai oleh anggota masyarakat yang lain bagi memudahkan perhubungan antara mereka (International Encyclopedia of Social Sciences, 1968).

Perbezaan nilai dan sikap individu-individu dalam masyarakat akan melahirkan norma yang berbeza mengikut agama, kepercayaan dan cara hidup mereka sendiri. Sebagai contoh, berdebat dengan nada suara yang tinggi di khalayak ramai adalah norma yang diterima baik dalam masyarakat Barat, tetapi perbuatan sedemikian dianggap tidak sopan di kalangan masyarakat Melayu khususnya. Asimilasi antara nilai, sikap dan norma pula akan membentuk etika bagi seseorang individu mahupun sekelompok individu yang berada dalam organisasi, pertubuhan dan sebagainya. Bahagian berikutnya nanti akan memperincikan perihal istilah ETIKA ini...

Monday, December 18, 2006

Lebih daripada sekadar Persidangan...

Persidangan Siswazah ISDEV II yang berlangsung di USM pada minggu lepas (12-13 Disember), pada hemat saya memberi manfaat yang cukup besar kepada para peserta. Paling tidak, Persidangan ini memberi ilmu dan pengalaman berharga kepada diri saya sendiri.

Dari segi ilmu, Persidangan selama 2 hari ini telah dimuatkan dengan pelbagai pengisian ilmiah. Ia terdiri daripada ucap utama oleh penceramah jemputan, pembentangan oleh para pembentang yang rata-ratanya terdiri daripada para siswazah ijazah tinggi, ulasan kertas kerja oleh para pensyarah jemputan dan juga sesi plenari selaku sesi penggulungan kepada ulasan-ulasan terdahulu.

Apa yang paling terkesan di hati saya adalah intipati daripada ucap utama yang disampaikan oleh Profesor Muhammad Syukri Salleh, Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam (ISDEV) sendiri. Beliau mengetengahkan 5 kriteria yang perlu dimiliki oleh seseorang siswazah, iaitu:
1. kemahiran berfikir
2. kemahiran menyelidik
3. kemahiran menulis
4. kemahiran beramal
5. kemahiran berorganisasi.

Kombinasi kelima-lima kemahiran ini akan melahirkan seorang siswazah yang berjaya dalam erti kata yang sebenar, iaitu berjaya mendapat ijazah yang dicita-citakan serta berjaya mendapat ilmu-ilmu baru untuk diamalkan dalam kehidupan. Imam Syafi`iy pernah berkata:
“Sesiapa yang berkehendakkan dunia, hendaklah dengan ilmu. Sesiapa yang berkehendakkan akhirat, hendaklah dengan ilmu. Sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya, hendaklah dengan ilmu.”

Kelima-lima kemahiran ini juga dilihat cukup signifikan selama mana seseorang itu bergelar ahli akademik. Hakikatnya, bukan mudah menjadi ahli akademik. Tergalas di bahunya tanggungjawab yang amat berat – tanggungjawab terhadap Allah dan Rasul, tanggungjawab terhadap pelajar, tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat keseluruhannya. Di sebalik tanggungjawab berat ini, termaktub ganjaran yang amat besar sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.;
“Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim)

Ganjaran besar yang dijanjikan tersebut wajar dijadikan sebagai motivasi kepada para ahli akademik untuk terus menunaikan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah. Gelaran sebagai ahli akademik tidak dilihat sebagai satu kerjaya semata-mata, tetapi ia patut dilihat sebagai satu peluang untuk memperoleh ganjaranNya yang berkekalan demi kebahagiaan di akhirat kelak.

Dari segi pengalaman pula, Persidangan ini secara tidak langsung telah memberi peluang kepada saya untuk menimba pelbagai bentuk pengalaman;
- pengalaman menulis kertas kerja,
- pengalaman membentang kertas kerja,
- pengalaman mempengerusikan majlis,
- pengalaman bekerja secara kolektif, dan
- pengalaman bersilaturrahim dengan rakan-rakan peserta yang lain.

Atas dasar tersebut, saya benar-benar merasakan Persidangan ini memang patut diteruskan pada masa-masa akan datang dengan pengurusan yang lebih sistematik agar manfaatnya dapat disebarluaskan lagi.

Thursday, November 23, 2006

ETIKA = NILAI = MORAL = NORMA?

(Bahagian I)

Istilah nilai, moral, norma dan etika sering ditukarpakai dalam penggunaan seharian. Di kesempatan ini, akan dihuraikan secara ringkas setiap istilah tersebut. Diharap dengan huraian ini nanti dapat memberi gambaran yang lebih jelas tentang istilah-istilah tersebut dalam proses untuk memahami konsep ETIKA itu sendiri.

Di bahagian pertama ini, istilah NILAI diberi huraian terlebih dahulu.

Nilai mempunyai pelbagai definisi daripada perspektif yang berbeza. Daripada perspektif ekonomi, nilai membawa erti penghargaan (esteem) yang terdapat pada sesuatu barang. Ia juga bermaksud power in exchange iaitu kuasa yang dimiliki oleh sesuatu barang untuk ditukarkan dengan barang yang lain (Encyclopedia Americana, 1991). Ia turut memperlihatkan kedudukan relatif sesuatu barang dari segi keutamaan (International Encyclopedia of Social Sciences, 1968). Daripada perspektif antropologi dan sosiologi pula, nilai dilihat sebagai suatu idea yang berkaitrapat dengan budaya dan masyarakat (Ibid). Nilai merupakan satu idea umum yang dikongsi bersama mengenai apa yang baik atau buruk, betul atau salah, sesuai atau tidak sesuai untuk dilakukan.

Dengan ini, dapatlah disimpulkan bahawa nilai bukan sahaja merupakan suatu piawaian bagi sesuatu barang, tetapi juga menjadi asas dalam menerima ataupun menolak sesuatu perlakuan manusia itu selepas membuat penilaian sama ada ianya wajar dilakukan atau patut dihindari. Secara keseluruhannya, nilai mempunyai ciri-ciri seperti berikut (Ibid; Calhoun, 1994):
• abstrak kerana ia bersifat umum (nonspecific)
• berperanan dalam menyediakan kerangka (framework) kepada pembentukan norma masyarakat dan mempengaruhinya
• berfungsi dalam mewarnai cara hidup masyarakat secara turun-temurun
• bersifat persendirian (individuality) dan penyesuaian (conformity)
• tidak statik dan sentiasa mengalami perubahan
• dibentuk berdasarkan sumber manusia (human sources) dan sumber bukan manusia (nonhuman sources).

Ciri-ciri nilai di atas memperlihatkan hubungkait antara nilai dan istilah-istilah lain sebagaimana yang akan dibincangkan dalam Bahagian berikutnya nanti...

Friday, November 17, 2006

ETIKA - sekadar kajian @ amalan?

Kajian tentang ETIKA...fokus dan prioriti saya buat masa ini. Ia mudah disebut tetapi sukar untuk direalisasikan. Banyak aspek perlu dilihat dan diambilkira bagi membuahkan suatu hasil kajian yang benar-benar dapat dimanfaatkan bersama.

Namun, apa yang lebih penting bagi saya adalah "pengkaji" itu perlu terlebih dahulu memahami, menghayati dan mengamalkan etika itu sendiri sebelum menjalankan kajian ke atas orang @ responden kajian. Itulah cabaran yang paling besar terutama bagi pengkaji Muslim, sebagaimana yang telah disebut dalam al-Quran;
"Amat besarlah kemurkaan di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu apa yang kamu tidak perbuat." (al-Saff, 61:3)

Oleh itu, para pengkaji etika Muslim perlu menjiwai etika yang telah digariskan dalam Islam. Niat yang ikhlas, amanah, bertanggungjawab, dedikasi, toleransi, bijaksana, sabar, menepati masa, bercakap benar dan bertaqwa merupakan antara etika yang perlu diberi keutamaan. Etika ini bukan sahaja cukup penting untuk diamalkan dalam menjalin hubungan sesama manusia, bahkan yang lebih utama adalah dalam hubungannya dengan Yang Maha Pencipta ALLAH S.W.T. Saya yakin, apabila etika ini telah berjaya dijiwai dan sebati dalam diri, insyaAllah ia akan terserlah dan lahir secara spontan dalam tingkah laku dan aktiviti seharian. Kajian tentang etika berjalan sebagaimana yang dirancang dan dalam masa yang sama etika turut dipraktikkan dalam kehidupan, dipermudahkan segala urusan oleh Allah serta mendapat ganjaran terbaik di sisiNya.

Tuesday, November 14, 2006

SALAM PERKENALAN

Assalamu`alaikum wrh.

Akhirnya.....impianku menjadi kenyataan. Tanggal 14 November 2006 bersamaan 22 Syawal 1427 terhasillah blog ini yang merupakan salah satu impianku sejak sekian lama. Itupun berkat "permintaan berautoriti" Penyeliaku dan "sokongan tidak berbelah bagi" sahabatku di ISDEV. Diharap dengan terhasilnya blog ini akan menjadi pemangkin dan suntikan semangat kepadaku untuk sama-sama berkongsi idea dan pengalaman berguna dengan rakan-rakan yang lain, insyaAllah. Semoga usaha murni ini diberkati oleh Allah s.w.t. di dunia dan akhirat.