Tuesday, February 20, 2007

Bukan Senang Nak Senang...

Hidup ini penuh dengan ujian. Dalam usaha kita untuk mengecapi kesenangan dan kebahagiaan, kita pasti diuji dengan pelbagai ujian. Sabda Rasulullah s.a.w.;
“Sesiapa yang dikehendaki Allah baginya kebaikan, diberikannya penderitaan (terlebih dahulu).” (Hadith Riwayat al-Bukhari)

Ujian demi ujian boleh hadir dalam berbagai-bagai bentuk;
- kesulitan vs kemudahan
- kesakitan vs kesihatan
- kesibukan vs kelapangan masa
- kesedihan vs kegembiraan
- kemarahan vs kesabaran
- kegagalan vs kejayaan.

Sebagai seorang Muslim, setiap ujian yang mendatang perlu ditanggapi dan ditangani dengan baik.

Pertama, sentiasa berbaik sangka dengan Allah s.w.t.
Ujian-ujian dilihat sebagai tanda kasih sayang Allah, didikan dari Allah, peringatan Allah, hukuman dari Allah ataupun kaffarah atas dosa lalu yang dilakukan.
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, 2:155)

Kedua, segera mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
Memanjatkan rasa syukur, beristighfar, berdoa, bermunajat dan bergantung harap hanya kepada-Nya.
“...Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak berdaya memikulnya. Maafkanlah kesalahan kami, ampunkanlah dosa kami dan rahmatilah kami...” (Surah al-Baqarah, 2:286)

Ketiga, melakukan muhasabah diri.
Menginsafi kelemahan dan kekurangan diri, berusaha mengikis sifat-sifat mazmumah dan menanam sifat-sifat mahmudah dalam diri.
“Sesungguhnya berjayalah orang yang (setelah menerima peringatan itu) berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal soleh).” (Surah al-A`la, 87:14)

Keempat, memohon maaf dan memaafkan orang lain.
Merendahkan diri memohon maaf dan memberi maaf kepada orang-orang di sekeliling kita, sama ada kita berada di pihak yang benar apatah lagi di pihak yang salah tiada ruginya.
“... dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Nur, 24:22)

Dengan demikian, diri tidak merasa terbeban dan menderita dengan segala bentuk ujian mendatang. Sebaliknya, hati akan menjadi lebih tenang, redha dan sentiasa berlapang dada. Ujian diubah menjadi suatu peluang untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan diredhai Allah s.w.t. Setiap kesusahan pasti ada kesenangan, itu janji Allah s.w.t.;
“Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran itu disertai kemudahan.” (Surah al-Syarh, 94:6)

Tuesday, January 23, 2007

ETIKA = NILAI = MORAL = NORMA?

(Bahagian III)

Sebelum membicarakan perihal ETIKA, istilah MORAL dihuraikan terlebih dahulu di bahagian ketiga ini.

Moral berasal daripada perkataan Latin 'mores'. Ia membawa maksud adat dan kebiasaan. Ia merupakan idea umum yang diterima dan menjadi pegangan sesebuah masyarakat tentang buruk atau baik sesuatu tingkah laku manusia, boleh dan tidak boleh dilakukan serta dorongan-dorongan yang membuat seseorang mengikut arah yang betul atau salah (Citra Karya, 1994). Moral juga dilihat sebagai suatu corak tingkah laku yang terbina hasil daripada kepercayaan keagamaan, nilai adat dan aspirasi yang telah diterima oleh sesebuah masyarakat dalam menentukan buruk baik tingkah laku atau perbuatan individu dalam masyarakat.

Huraian definisi di atas memperlihatkan perkaitan antara moral dengan tiga istilah yang lain.

  1. Nilai yang dipegang oleh setiap ahli masyarakat merupakan salah satu kriteria dalam pembentukan moral.
  2. Moral yang telah diterima pakai dan menjadi kebiasaan dalam sesebuah masyarakat membawa kepada pembentukan norma. Hal ini diakui oleh Doob (2000) yang melihat moral sebagai salah satu bentuk norma ke arah melahirkan individu bermoral.
  3. Moral mempunyai pengertian yang hampir sama dengan etika.

Perkaitan antara moral dan etika ini ada asasnya. Meskipun istilah etika belum dibincangkan secara terperinci, namun di bahagian ini dirasakan amat perlu perkaitan ini diperjelaskan berdasarkan pendapat beberapa orang sarjana.

Menurut Shaw (1999), etika dan moral merupakan dua perkataan yang berbeza dari segi sebutan tetapi membawa erti yang sama. Ia dibuktikan menerusi penulisan beliau yang saling menukarpakai perkataan etika dan moral bagi merujuk maksud yang sama.

Hal ini turut disokong oleh Mackie (1971). Menurutnya;
“Kenyataan moral dan etika dapat menerangkan sesuatu perbuatan itu betul atau salah; ia mampu menyediakan garis perbezaan antara kebaikan dan keburukan mengenai perbuatan atau kecenderungan seseorang; ataupun sekurang-kurangnya ia dapat menjadi garis panduan kepada berbagai-bagai pertimbangan moral”.

Atas dasar itu jugalah, maka sesetengah sarjana telah mendefinisikan etika sebagai sains moral (science of morals) dan prinsip-prinsip moral (moral principles) (Mustafa Haji Daud, 1996).

Sungguhpun moral sering disamaertikan dengan etika, namun wujud kecenderungan untuk membezakannya. Hal ini telah ditegaskan oleh Baelz (1977);
“Moral dan etika mempunyai makna yang sama. Walau bagaimanapun, adalah berfaedah sekiranya dapat dibezakan antara keduanya, sekalipun kita selalu tidak berjaya membezakannya.”

Antara perbezaan moral dan etika adalah seperti berikut;

  • Moral lebih bersifat amali dan praktikal, manakala etika pula lebih bersifat teori (Mustafa Haji Daud, 1996).
  • Moral dilihat sebagai suatu disiplin yang menerangkan perihal sistem moral dan nilai yang dihayati oleh sesebuah kelompok manusia, manakala etika pula mengkaji, menganalisa dan mengkritik sistem moral tersebut. Dengan kata lain, etika berperanan sebagai pengkaji, manakala moral pula merupakan bahan yang dikaji oleh etika (Baelz, 1977; Shaw, 1999).

Bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas berhubung perkaitan antara kedua-dua istilah ini, bahagian berikutnya nanti akan menghuraikan perihal istilah ETIKA dengan lebih terperinci.

Wednesday, January 10, 2007

Ahlan wa Sahlan 2007M & 1428H

Sedar tak sedar sudah 10 hari kita berada dalam tahun 2007M dan tidak sampai 10 hari lagi kita akan melangkah ke tahun 1428H. Sungguh cepat dirasakan masa berlalu…lebih-lebih lagi di saat terlalu banyak tugas yang menanti dan menuntut komitmen kita. Ya Allah berilah kami kekuatan!!!

Bagi sesetengah orang, kedatangan tahun 2007M & 1428H bermakna bertambahnya setahun lagi umur mereka. Masih berkesempatan untuk menyelesaikan tugas-tugas yang belum terlaksana dan memperbaharui azam yang belum tertunai di tahun sebelumnya. Mungkin atas dasar itulah kedatangan setiap kali ‘tahun baru’ dirai dan dirayakan dengan pelbagai bentuk sambutan yang melalaikan.

Bagi kita, kedatangan tahun 2007M & 1428H patut disambut dengan penuh rasa kesyukuran. Syukur kerana masih diberi peluang dan kesempatan untuk memperbaiki diri, meningkatkan amal ibadah, berbuat kebajikan, menambah ilmu dan sebagainya. Firman Allah s.w.t.;

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras". (Surah Ibrahim, 14:7)

Kedatangan tahun 2007M & 1428H juga patut diraikan dengan membuat muhasabah (post mortem) terhadap amalan-amalan yang telah dilakukan sepanjang tahun 2006M/1427H. Apakah ada pembaikian, lebih baik atau lebih teruk berbanding tahun sebelumnya? Berakhirnya tahun 2006M/1427H tidak bermakna segala amalan tersimpan begitu sahaja dalam lipatan kalendar 2006M/1427H. Hakikatnya, segala amalan buruk baik kita tersimpan rapi dalam buku catatan amal yang pasti akan dibuka semula suatu masa nanti. Sudahkah kita bersedia untuk menghadapi masa itu nanti? Kata-kata Sayyidina `Umar al-Khattab berikut wajar diambil iktibar;
“Hisablah diri kamu sendiri sebelum kamu dihisab (al-Ghazali, 1990).

Sebagai seorang Muslim, pelbagai perkara perlu dimuhasabahkan;

  • Sebagai hamba Allah, sudahkah kita mematuhi sungguh-sungguh segala perintah Allah dan Rasul? Melaksanakan perkara wajib dan sunat serta menjauhi perkara haram dan makruh seboleh mungkin?
  • Sebagai wanita, sudahkah kita menjaga maruah dengan memastikan aurat ditutup dan dipelihara betul-betul menurut piawaian yang telah ditetapkan syarak?
  • Sebagai anak, sudahkah kita menunaikan tanggungjawab terhadap kedua ibu bapa sebaik mungkin? Mentaati, berbakti dan mendoakan keduanya serta memuliakan sahabat-sahabat mereka?
  • Sebagai pelajar, sudahkah kita melaksanakan tanggungjawab terhadap guru dan ilmu yang diperolehi? Menghormati guru dan memanfaatkan ilmu pada jalan yang diredhai-Nya?
  • Sebagai warga masyarakat, sudahkah kita menunaikan hak terhadap rakan-rakan, jiran dan masyarakat keseluruhannya? Menghubungkan silaturrahim dan melaksanakan amar ma`ruf nahi munkar mengikut kemampuan?

Jika dihitung-hitung semuanya, cukup banyak tanggungjawab yang tergalas di bahu setiap daripada kita. Andai di dunia lagi kita dapati banyak tanggungjawab yang masih belum selesai, bagaimana mungkin kita hendak berhadapan dengan Allah s.w.t. nanti?

Oleh yang demikian, kedatangan tahun 2007M & 1428H ini sekurang-kurangnya berazamlah kita untuk memperbaiki dan mempertingkatkan diri dalam amal ibadah. Jika sebelum ini ada melewat-lewatkan penunaian solat fardhu, tahun ini berazamlah untuk menunaikannya pada awal waktu. Jika sebelum ini sering solat sendirian, tahun ini berazamlah untuk solat berjemaah. Jika sebelum ini jarang-jarang pegang al-Quran, tahun ini berazamlah untuk khatam al-Quran. Jika sebelum ini kurang berpuasa sunat, bersolat malam dan bersedekah, tahun ini berazamlah untuk melazimi diri dengan puasa sunat, solat malam dan sedekah. Begitu juga dengan amal ibadah lain yang dijanjikan dengan pelbagai bentuk ganjaran dan pahala di sisi-Nya. Bahkan ia merupakan suatu jalan untuk bertaqarrub dan mendapat kecintaan Allah s.w.t. sebagaimana yang dinyatakan dalam Hadith berikut;

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah s.w.t. telah berfirman: Barangsiapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku isytiharkan perang terhadapnya. Tidaklah seseorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan melakukan sesuatu amalan yang lebih Aku sukai selain daripada apa yang telah Aku fardhukan kepadanya. Dan tidaklah seorang hamba itu sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan mengerjakan amalan-amalan sunat, kecuali Aku akan mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, Aku adalah pendengarannya yang dia mendengar dengannya, penglihatannya yang dia melihat dengannya, tangannya yang dia mengambil sesuatu tindakan dengannya dan kakinya yang dia berjalan dengannya. Jika dia memohon sesuatu daripada-Ku, Aku akan memberinya dan jika dia memohon perlindungan daripada-Ku, maka Aku akan melindunginya". (Riwayat al-Bukhari)

Tuesday, December 26, 2006

ETIKA = NILAI = MORAL = NORMA?

(Bahagian II)
Di bahagian kedua ini, istilah NORMA dihuraikan.

Para sosiologi mendefinisikan norma sebagai suatu garis panduan dan peraturan kelakuan tentang bagaimana individu dalam sesebuah masyarakat sepatutnya berkelakuan dan bertindakbalas melalui percakapan mahupun perbuatan dalam sesuatu keadaan (Doob, 2000; Calhoun, 1994; Bryjak, 1994). Hanya peraturan yang telah diterima baik dan dipatuhi oleh setiap anggota masyarakat sehingga menjadi kebiasaan sahaja diiktiraf sebagai norma. Hal ini kerana norma berperanan untuk mengawal kelakuan anggota masyarakat, mentakrifkan secara jelas bentuk perhubungan dalam masyarakat dan mencerminkan nilai-nilai yang dipegang oleh masyarakat tersebut (Citra Karya, 1994).

Norma terbentuk daripada nilai dan sikap individu dalam masyarakat itu sendiri. Nilai yang dipegang oleh individu akan membentuk sikap diri terhadap sesuatu perkara. Sikap tersebut seterusnya membentuk peraturan-peraturan hidup yang dinamakan sebagai norma masyarakat. Oleh kerana itu, kebanyakan norma dilihat sebagai multi-nilai iaitu mengandungi pelbagai nilai dan nilai yang sama turut boleh digunapakai oleh anggota masyarakat yang lain bagi memudahkan perhubungan antara mereka (International Encyclopedia of Social Sciences, 1968).

Perbezaan nilai dan sikap individu-individu dalam masyarakat akan melahirkan norma yang berbeza mengikut agama, kepercayaan dan cara hidup mereka sendiri. Sebagai contoh, berdebat dengan nada suara yang tinggi di khalayak ramai adalah norma yang diterima baik dalam masyarakat Barat, tetapi perbuatan sedemikian dianggap tidak sopan di kalangan masyarakat Melayu khususnya. Asimilasi antara nilai, sikap dan norma pula akan membentuk etika bagi seseorang individu mahupun sekelompok individu yang berada dalam organisasi, pertubuhan dan sebagainya. Bahagian berikutnya nanti akan memperincikan perihal istilah ETIKA ini...

Monday, December 18, 2006

Lebih daripada sekadar Persidangan...

Persidangan Siswazah ISDEV II yang berlangsung di USM pada minggu lepas (12-13 Disember), pada hemat saya memberi manfaat yang cukup besar kepada para peserta. Paling tidak, Persidangan ini memberi ilmu dan pengalaman berharga kepada diri saya sendiri.

Dari segi ilmu, Persidangan selama 2 hari ini telah dimuatkan dengan pelbagai pengisian ilmiah. Ia terdiri daripada ucap utama oleh penceramah jemputan, pembentangan oleh para pembentang yang rata-ratanya terdiri daripada para siswazah ijazah tinggi, ulasan kertas kerja oleh para pensyarah jemputan dan juga sesi plenari selaku sesi penggulungan kepada ulasan-ulasan terdahulu.

Apa yang paling terkesan di hati saya adalah intipati daripada ucap utama yang disampaikan oleh Profesor Muhammad Syukri Salleh, Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam (ISDEV) sendiri. Beliau mengetengahkan 5 kriteria yang perlu dimiliki oleh seseorang siswazah, iaitu:
1. kemahiran berfikir
2. kemahiran menyelidik
3. kemahiran menulis
4. kemahiran beramal
5. kemahiran berorganisasi.

Kombinasi kelima-lima kemahiran ini akan melahirkan seorang siswazah yang berjaya dalam erti kata yang sebenar, iaitu berjaya mendapat ijazah yang dicita-citakan serta berjaya mendapat ilmu-ilmu baru untuk diamalkan dalam kehidupan. Imam Syafi`iy pernah berkata:
“Sesiapa yang berkehendakkan dunia, hendaklah dengan ilmu. Sesiapa yang berkehendakkan akhirat, hendaklah dengan ilmu. Sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya, hendaklah dengan ilmu.”

Kelima-lima kemahiran ini juga dilihat cukup signifikan selama mana seseorang itu bergelar ahli akademik. Hakikatnya, bukan mudah menjadi ahli akademik. Tergalas di bahunya tanggungjawab yang amat berat – tanggungjawab terhadap Allah dan Rasul, tanggungjawab terhadap pelajar, tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat keseluruhannya. Di sebalik tanggungjawab berat ini, termaktub ganjaran yang amat besar sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.;
“Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim)

Ganjaran besar yang dijanjikan tersebut wajar dijadikan sebagai motivasi kepada para ahli akademik untuk terus menunaikan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah. Gelaran sebagai ahli akademik tidak dilihat sebagai satu kerjaya semata-mata, tetapi ia patut dilihat sebagai satu peluang untuk memperoleh ganjaranNya yang berkekalan demi kebahagiaan di akhirat kelak.

Dari segi pengalaman pula, Persidangan ini secara tidak langsung telah memberi peluang kepada saya untuk menimba pelbagai bentuk pengalaman;
- pengalaman menulis kertas kerja,
- pengalaman membentang kertas kerja,
- pengalaman mempengerusikan majlis,
- pengalaman bekerja secara kolektif, dan
- pengalaman bersilaturrahim dengan rakan-rakan peserta yang lain.

Atas dasar tersebut, saya benar-benar merasakan Persidangan ini memang patut diteruskan pada masa-masa akan datang dengan pengurusan yang lebih sistematik agar manfaatnya dapat disebarluaskan lagi.

Thursday, November 23, 2006

ETIKA = NILAI = MORAL = NORMA?

(Bahagian I)

Istilah nilai, moral, norma dan etika sering ditukarpakai dalam penggunaan seharian. Di kesempatan ini, akan dihuraikan secara ringkas setiap istilah tersebut. Diharap dengan huraian ini nanti dapat memberi gambaran yang lebih jelas tentang istilah-istilah tersebut dalam proses untuk memahami konsep ETIKA itu sendiri.

Di bahagian pertama ini, istilah NILAI diberi huraian terlebih dahulu.

Nilai mempunyai pelbagai definisi daripada perspektif yang berbeza. Daripada perspektif ekonomi, nilai membawa erti penghargaan (esteem) yang terdapat pada sesuatu barang. Ia juga bermaksud power in exchange iaitu kuasa yang dimiliki oleh sesuatu barang untuk ditukarkan dengan barang yang lain (Encyclopedia Americana, 1991). Ia turut memperlihatkan kedudukan relatif sesuatu barang dari segi keutamaan (International Encyclopedia of Social Sciences, 1968). Daripada perspektif antropologi dan sosiologi pula, nilai dilihat sebagai suatu idea yang berkaitrapat dengan budaya dan masyarakat (Ibid). Nilai merupakan satu idea umum yang dikongsi bersama mengenai apa yang baik atau buruk, betul atau salah, sesuai atau tidak sesuai untuk dilakukan.

Dengan ini, dapatlah disimpulkan bahawa nilai bukan sahaja merupakan suatu piawaian bagi sesuatu barang, tetapi juga menjadi asas dalam menerima ataupun menolak sesuatu perlakuan manusia itu selepas membuat penilaian sama ada ianya wajar dilakukan atau patut dihindari. Secara keseluruhannya, nilai mempunyai ciri-ciri seperti berikut (Ibid; Calhoun, 1994):
• abstrak kerana ia bersifat umum (nonspecific)
• berperanan dalam menyediakan kerangka (framework) kepada pembentukan norma masyarakat dan mempengaruhinya
• berfungsi dalam mewarnai cara hidup masyarakat secara turun-temurun
• bersifat persendirian (individuality) dan penyesuaian (conformity)
• tidak statik dan sentiasa mengalami perubahan
• dibentuk berdasarkan sumber manusia (human sources) dan sumber bukan manusia (nonhuman sources).

Ciri-ciri nilai di atas memperlihatkan hubungkait antara nilai dan istilah-istilah lain sebagaimana yang akan dibincangkan dalam Bahagian berikutnya nanti...

Friday, November 17, 2006

ETIKA - sekadar kajian @ amalan?

Kajian tentang ETIKA...fokus dan prioriti saya buat masa ini. Ia mudah disebut tetapi sukar untuk direalisasikan. Banyak aspek perlu dilihat dan diambilkira bagi membuahkan suatu hasil kajian yang benar-benar dapat dimanfaatkan bersama.

Namun, apa yang lebih penting bagi saya adalah "pengkaji" itu perlu terlebih dahulu memahami, menghayati dan mengamalkan etika itu sendiri sebelum menjalankan kajian ke atas orang @ responden kajian. Itulah cabaran yang paling besar terutama bagi pengkaji Muslim, sebagaimana yang telah disebut dalam al-Quran;
"Amat besarlah kemurkaan di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu apa yang kamu tidak perbuat." (al-Saff, 61:3)

Oleh itu, para pengkaji etika Muslim perlu menjiwai etika yang telah digariskan dalam Islam. Niat yang ikhlas, amanah, bertanggungjawab, dedikasi, toleransi, bijaksana, sabar, menepati masa, bercakap benar dan bertaqwa merupakan antara etika yang perlu diberi keutamaan. Etika ini bukan sahaja cukup penting untuk diamalkan dalam menjalin hubungan sesama manusia, bahkan yang lebih utama adalah dalam hubungannya dengan Yang Maha Pencipta ALLAH S.W.T. Saya yakin, apabila etika ini telah berjaya dijiwai dan sebati dalam diri, insyaAllah ia akan terserlah dan lahir secara spontan dalam tingkah laku dan aktiviti seharian. Kajian tentang etika berjalan sebagaimana yang dirancang dan dalam masa yang sama etika turut dipraktikkan dalam kehidupan, dipermudahkan segala urusan oleh Allah serta mendapat ganjaran terbaik di sisiNya.