Sunday, December 23, 2007

SETINGGI-TINGGI KESYUKURAN...

Tahun 2007 bakal melabuhkan tirainya. Pengajian PhD yang diusahakan selama 4 tahun ini juga menemui titik noktahnya.
Tanggal 14/12/2007 naskhah akhir tesis PhD selamat diserahkan kepada Institut Pengajian Siswazah USM. Tatkala terpandang naskhah akhir tesis yang telah siap dijilid hard cover, hilang segala jerit perih sepanjang proses penyelidikan dan penulisan tesis.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan taufik dan `inayah-Nya pengajian ini dapat disempurnakan. Sekalung penghargaan buat Profesor Muhammad Syukri Salleh dan Dr. Zakaria Bahari selaku penyelia utama dan penyelia bersama di atas bimbingan dan didikan yang diberikan sehingga terhasilnya tesis.

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga buat ayahanda Hj. Kamri dan bonda Hjh. Hafsah serta seisi keluarga yang setia mendoakan, memberi dorongan dan sokongan sepanjang suka duka menyiapkan tesis.
Buat sahabat-sahabat di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) USM dan Akademi Pengajian Islam UM, syukran jazilan `ala kulli hal. Teruskan perjuangan dan moga-moga segala usaha kita dikira sebagai amal soleh di sisi-Nya.
Terima kasih juga kepada pihak-pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan kajian tesis. Hanya Allah dapat membalas segala jasa baik yang dihulurkan.

Berikut merupakan detik-detik penting sepanjang pengajian PhD;
10/11/2003 - pendaftaran pengajian
31/10/2008 - tempoh maksimum pencalonan
07/09/2007 - penyerahan tesis untuk pemeriksaan
26/11/2007 - peperiksaan viva
14/12/2007 - penyerahan naskhah akhir tesis.










Thursday, May 17, 2007

TERIMA KASIH CIKGU...

**Sajak nukilan Tokoh Sasterawan Negara, USMAN AWANG ini didedikasikan buat GURU-GURU yang pernah mendidikku.
Moga jasa baik yang kalian curahkan beroleh ganjaran di sisiNYA di dunia dan akhirat, amin.
“Selamat Hari Guru - Guru Penjana Modal Insan Cemerlang”


Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulama yang mulia
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara
Jika hari ini seorang Penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang GURU biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan didulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Thursday, April 19, 2007

ETIKA ISLAM - Suatu Pengenalan

Menurut perspektif Barat, etika Islam dikategorikan sebagai etika keagamaan (religious ethics). Namun, hakikat sebenarnya konsep dan skop etika Islam lebih jauh daripada itu. Ia tidak terhad kepada hal-hal keagamaan sahaja, tetapi ruang lingkupnya merangkumi segenap urusan kehidupan manusia.

Etika Islam adalah sinonim dengan akhlak. Menurut para tokoh pemikir Islam, akhlak didefinisikan sebagai sifat yang tertanam dalam jiwa seseorang dan perbuatan akan lahir daripadanya dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan fikiran terlebih dahulu. Berdasarkan pengertian tersebut, keadaan jiwa dalaman seseorang dilihat sebagai pencetus dan penggerak kepada pembinaan sikap dan tingkah laku luaran. Pengertian ini melayakkan akhlak sebagai istilah yang paling tepat dan lengkap bagi etika Islam, berbanding istilah-istilah lain seperti nilai, moral dan norma sebagaimana yang diyakini Barat.

Terdapat empat kriteria yang menjadikan etika Islam ini cukup unik dan tersendiri.

Pertama ialah dari segi sumber asasnya. Asas etika Islam adalah bersumberkan sumber ketuhanan (dalil naqli) iaitu al-Qur’an dan al-Hadith. Dalam masa yang sama, Islam turut mengiktiraf sumber kemanusiaan (dalil `aqli) yang terdiri daripada taakulan akal, naluri dan juga pengalaman manusia. Namun, akal, naluri dan pengalaman ini mestilah digunakan dengan bimbingan wahyu al-Qur’an dan al-Hadith itu sendiri. Kombinasi sumber ketuhanan dan sumber kemanusiaan ini menghasilkan etika Islam yang mantap bagi mendasari segala aktiviti kehidupan manusia.

Berbeza dengan etika Barat, sumber pembentukannya adalah bergantung penuh kepada akal, naluri dan pengalaman manusia. Keupayaan ketiga-tiga sumber tersebut amat terbatas. Ketiga-tiga sumber tersebut seringkali dipengaruhi oleh unsur-unsur luar seperti warisan adat tradisi, tekanan pihak tertentu dan hawa nafsu. Hal ini menyebabkan para moralis Barat cenderung untuk mengetengahkan teori mengikut pertimbangan peribadi dan pemahaman yang berbeza-beza. Perbezaan fahaman ini adalah berpunca daripada kegagalan akal, naluri dan pengalaman membuat suatu penilaian yang seragam dan bersifat sejagat yang boleh diterima oleh semua pihak.

Kedua ialah dari segi skopnya. Etika Islam meliputi aspek teori (majal al-nazar) dan praktis (majal al-`amal). Ia tidak hanya melibatkan pemikiran teoritis para ulama’ silam dalam pelbagai bidang ilmu, bahkan turut diperincikan dalam bentuk praktikal berhubung kelakuan manusia itu sendiri. Akhlak yang dipamerkan oleh Rasulullah s.a.w. merupakan model ikutan yang paling tepat. Baginda mempraktikkan tuntutan akhlak Islam dalam pengurusan diri, rumahtangga, masyarakat mahupun pentadbiran negara. Gandingan aspek teori dan praktis ini menjadikan etika Islam cukup lengkap untuk dilaksanakan dalam segenap aspek kehidupan.

Ketiga ialah dari segi rangkuman nilainya. Nilai-nilai dalam etika Islam merangkumi pelbagai aspek dan dimensi. Bersesuaian dengan sifat Penciptanya yang memiliki segala kesempurnaan, maka nilai-nilai yang digubal-Nya melambangkan keagungan-Nya, menepati fitrah semulajadi manusia dan mesra sepanjang zaman. Sesuatu yang dikategorikan sebagai baik atau buruk, betul atau salah itu akan kekal dan diterimapakai oleh umat manusia sepanjang masa. Ini berbeza dari teori etika Barat yang sentiasa berubah-ubah dan hanya diterimapakai bagi suatu tempoh masa tertentu sahaja.

Dari sudut kategori nilai, etika Islam meliputi nilai positif (ijabiyah) dan nilai negatif (salbiyah). Nilai positif merujuk kepada nilai yang memberi kesan baik kepada hati dan diri manusia serta dituntut untuk diamalkan. Nilai negatif pula meninggalkan kesan yang kurang baik dan wajar dihindari kerana mendatangkan kemudharatan kepada banyak pihak. Dari aspek hubungan, etika Islam mengambilkira nilai-nilai dalam hubungan manusia dengan Pencipta (habl min Allah), hubungan sesama manusia (habl min al-nas) dan hubungan dengan alam sejagat. Dari segi skop nilai, etika Islam meliputi dimensi zahir (kelakuan) dan batin (kejiwaan) manusia. Etika Islam diinterpretasikan melalui pendekatan lahiriah iaitu melalui penampilan, sikap, perlakuan dan bahasa, mahupun pendekatan batiniah iaitu melalui hati.

Keempat ialah dari segi faktor kepatuhannya. Asas kepatuhan Muslim terhadap etika Islam juga cukup unik. Sesuatu itu bukanlah baik dan buruk secara semulajadi (zatnya), tetapi Allah s.w.t. yang menetapkan baik atau tidak sesuatu perkara itu. Maka, faktor yang menggalakkan kepatuhan kepada etika Islam adalah ketaatan dan kepatuhan kepada ajaran Islam itu sendiri. Segala nilai yang dianjurkan oleh Islam dilaksanakan semata-mata kerana Allah s.w.t. dengan penuh keyakinan, iltizam dan kerelaan hati, bukan disebabkan oleh peraturan kerja ataupun arahan ketua atasan.

Keempat-empat kriteria di atas memperlihatkan keunikan dan keunggulan etika Islam sejajar dengan kesyumulan ajaran Islam. Paling menarik, ia memperlihatkan keupayaan etika Islam untuk mengurus multidimensi kehidupan manusia. Di samping memperoleh kebaikan di dunia, ia turut menjanjikan kebahagiaan di akhirat kelak (al-falah). Ia ternyata jauh lebih baik daripada etika Barat yang jelas menafikan hak Allah s.w.t., mengabaikan pembangunan dalaman diri manusia dan hanya berorientasikan keduniaan. Persoalannya, adakah etika Islam berbeza sama sekali dengan etika Barat? Apakah wujud persamaan antara keduanya? Perkara ini bakal dikupas dalam kesempatan yang akan datang, insyaAllah.

Sunday, March 25, 2007

TA`ARUF, TADABBUR dan TAQARRUB semasa musafir…

Kesempatan menyertai program lawatan sambil belajar ke negeri Terengganu & Kelantan anjuran para pelajar kursus SBU342:Institusi Pembangunan Islam baru-baru ini cukup besar ertinya. Selain dapat menimba ilmu berhubung aspek pembangunan berdasarkan pelbagai pendekatan Islam, program lawatan ini juga memberi peluang kepada kami untuk menghayati konsep ta`aruf, tadabbur dan taqarrub semasa musafir.

Secara mudah, ta`aruf bermaksud saling kenal-mengenal antara satu sama lain, tadabbur pula bermaksud memikir serta menghayati ciptaan alam dan taqarrub membawa maksud mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Ta`aruf berlangsung sepanjang program berjalan, sama ada ta`aruf di kalangan sesama ahli rombongan mahupun ta`aruf dengan pihak tuan rumah yang menjadi destinasi lawatan kami. Aktiviti teka-teki dan soal jawab agama di sepanjang perjalanan membantu proses kenal-mengenal, menyerlahkan karakter sebenar dan merapatkan ukhuwwah di antara kami. Layanan “hadhari” yang diberikan oleh pihak tuan rumah juga memudahkan komunikasi kedua-dua belah pihak. Tadabbur pula melibatkan interaksi secara tidak langsung dengan alam sekitar. Pemandangan yang sejuk mata memandang dan cuaca yang baik sepanjang program lawatan kami membuktikan keagungan, kebesaran dan kekuasaan Yang Maha Esa. Taqarrub pula membuatkan kami berasa sentiasa dekat dengan Allah s.w.t. Hanya dengan izin, rahman dan rahim-Nya, program lawatan ini menjadi kenyataan, berjalan lancar, mencapai matlamat serta selamat pergi dan kembali.

Secara sedar atau tidak, ketiga-tiga konsep ini sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain. Jika ta`aruf melibatkan hubungan sesama manusia, tadabbur lebih kepada hubungan dengan alam, manakala taqarrub pula menekankan hubungan manusia dengan Allah s.w.t. Melalui ta`aruf dan tadabbur ini juga akhirnya membawa kepada taqarrub ila Allah. Kepelbagaian ragam manusia dan keindahan alam ciptaan-Nya meningkatkan lagi ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

Dia-lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya), dan diturunkan-Nya air hujan dari langit, lalu dikeluarkan-Nya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa). (Surah al-Baqarah, 2:22)

Tidak lupa juga sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada pihak urusetia di atas kejayaan penganjuran program ini. Moga-moga semangat Islam yang tersemat dalam diri kalian tidak hanya sekadar semangat di kampus semata-mata. Terjemahkanlah ia ke dalam bentuk praktikal apabila memasuki alam pekerjaan kelak untuk manfaat ummah sejagat.

Monday, March 5, 2007

ETIKA = NILAI = MORAL = NORMA?

(Bahagian IV)

Di bahagian terakhir ini, istilah ETIKA diperjelaskan.

ETIKA difahami dengan cara yang berbeza dari perspektif yang berlainan. Sesetengah pihak melihat etika sebagai undang-undang, peraturan, kepercayaan keagamaan, gerak hati individu, adat kebiasaan yang diterima umum mahupun amalan yang bertepatan dengan kepentingan diri (Webber, 1975). Sesetengah pihak pula melihat etika membawa maksud berikut (International Encyclopedia of Social Sciences, 1968);

  • sejumlah moral yang ditetapkan oleh sesebuah masyarakat hasil pemerhatian ahli sosiologi terhadap kelakuan ahli masyarakat
  • kod yang sistematik berhubung prinsip-prinsip moral
  • teori falsafah tentang kerasionalan sesuatu tingkah laku moral.

Walau apapun takrifan yang diberi, apa yang penting adalah semua pihak menerima dan mengakui bahawa etika merupakan suatu set nilai, norma dan piawaian moral yang membezakan sesuatu tindakan manusia itu sama ada betul atau salah, baik atau buruk (Encyclopedia of Business, 2000). Dengan terbentuknya piawaian tersebut, suatu corak dan cara dalam berkelakuan dapat ditentukan dan diterimapakai dalam sesebuah kelompok manusia.

Berdasarkan takrifan yang diberi, jelas memperlihatkan ruang lingkup etika yang cukup luas. Terangkum di dalam ETIKA istilah NILAI, MORAL dan juga NORMA yang telah dibincangkan sebelum ini.

Keperluan individu kepada etika didorong oleh nilai yang wujud dalam diri individu itu sendiri. Apabila individu berkeyakinan dan berpegang kepada perlunya batas-batas ketentuan antara kebaikan dan keburukan, maka etika dijadikan keutamaan. Jika sebaliknya, maka etika diabaikan. Selain itu, pembentukan etika juga mengambilkira pertimbangan moral, nilai pegangan diri, amalan kebiasaan dan norma masyarakat sekeliling untuk dijadikan sebagai asas dan sandaran.

Dalam konteks organisasi, etika dilihat sebagai suatu mekanisme penyelarasan dan garis panduan kepada kelakuan dan aktiviti ahli-ahli organisasi bagi memastikan tindakan yang diambil adalah betul, bertepatan dengan apa yang dirancang serta bergerak selari ke arah pencapaian matlamat yang dikongsi bersama. Dengan kata lain, etika menentukan apa yang baik untuk dilakukan dan apa yang buruk untuk dihindarkan dalam konteks perniagaan (Shaw, 1999). Etika dalam konteks pengurusan organisasi perniagaan ini mula menjadi suatu isu penting dan bidang kajian yang tersusun pada tahun 1970an. Sepanjang tahun 1980an dan 1990an, usaha yang lebih intensif dicurahkan dalam bidang etika perniagaan. Usaha berkenaan akhirnya telah melahirkan tokoh-tokoh seperti Albert Carr, Milton Friedman, Adam Smith, John Locke, Immanuel Kant dan Jeremy Bentham bersama teori dan fahaman etika masing-masing (Malonis, 2000).

Berdasarkan takrifan dan konsep ETIKA yang diperjelaskan di atas, timbul beberapa persoalan. Adakah ia mempunyai takrifan dan konsep yang sama atau berbeza dengan ETIKA ISLAM? Jika ia mempunyai persamaan, apakah titik persamaan antara keduanya? Jika ia berbeza, apakah pula aspek-aspek yang membezakan antara keduanya? Persoalan-persolan ini akan terjawab menerusi perbincangan seterusnya nanti, insyaAllah.