Tuesday, January 23, 2007

ETIKA = NILAI = MORAL = NORMA?

(Bahagian III)

Sebelum membicarakan perihal ETIKA, istilah MORAL dihuraikan terlebih dahulu di bahagian ketiga ini.

Moral berasal daripada perkataan Latin 'mores'. Ia membawa maksud adat dan kebiasaan. Ia merupakan idea umum yang diterima dan menjadi pegangan sesebuah masyarakat tentang buruk atau baik sesuatu tingkah laku manusia, boleh dan tidak boleh dilakukan serta dorongan-dorongan yang membuat seseorang mengikut arah yang betul atau salah (Citra Karya, 1994). Moral juga dilihat sebagai suatu corak tingkah laku yang terbina hasil daripada kepercayaan keagamaan, nilai adat dan aspirasi yang telah diterima oleh sesebuah masyarakat dalam menentukan buruk baik tingkah laku atau perbuatan individu dalam masyarakat.

Huraian definisi di atas memperlihatkan perkaitan antara moral dengan tiga istilah yang lain.

  1. Nilai yang dipegang oleh setiap ahli masyarakat merupakan salah satu kriteria dalam pembentukan moral.
  2. Moral yang telah diterima pakai dan menjadi kebiasaan dalam sesebuah masyarakat membawa kepada pembentukan norma. Hal ini diakui oleh Doob (2000) yang melihat moral sebagai salah satu bentuk norma ke arah melahirkan individu bermoral.
  3. Moral mempunyai pengertian yang hampir sama dengan etika.

Perkaitan antara moral dan etika ini ada asasnya. Meskipun istilah etika belum dibincangkan secara terperinci, namun di bahagian ini dirasakan amat perlu perkaitan ini diperjelaskan berdasarkan pendapat beberapa orang sarjana.

Menurut Shaw (1999), etika dan moral merupakan dua perkataan yang berbeza dari segi sebutan tetapi membawa erti yang sama. Ia dibuktikan menerusi penulisan beliau yang saling menukarpakai perkataan etika dan moral bagi merujuk maksud yang sama.

Hal ini turut disokong oleh Mackie (1971). Menurutnya;
“Kenyataan moral dan etika dapat menerangkan sesuatu perbuatan itu betul atau salah; ia mampu menyediakan garis perbezaan antara kebaikan dan keburukan mengenai perbuatan atau kecenderungan seseorang; ataupun sekurang-kurangnya ia dapat menjadi garis panduan kepada berbagai-bagai pertimbangan moral”.

Atas dasar itu jugalah, maka sesetengah sarjana telah mendefinisikan etika sebagai sains moral (science of morals) dan prinsip-prinsip moral (moral principles) (Mustafa Haji Daud, 1996).

Sungguhpun moral sering disamaertikan dengan etika, namun wujud kecenderungan untuk membezakannya. Hal ini telah ditegaskan oleh Baelz (1977);
“Moral dan etika mempunyai makna yang sama. Walau bagaimanapun, adalah berfaedah sekiranya dapat dibezakan antara keduanya, sekalipun kita selalu tidak berjaya membezakannya.”

Antara perbezaan moral dan etika adalah seperti berikut;

  • Moral lebih bersifat amali dan praktikal, manakala etika pula lebih bersifat teori (Mustafa Haji Daud, 1996).
  • Moral dilihat sebagai suatu disiplin yang menerangkan perihal sistem moral dan nilai yang dihayati oleh sesebuah kelompok manusia, manakala etika pula mengkaji, menganalisa dan mengkritik sistem moral tersebut. Dengan kata lain, etika berperanan sebagai pengkaji, manakala moral pula merupakan bahan yang dikaji oleh etika (Baelz, 1977; Shaw, 1999).

Bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas berhubung perkaitan antara kedua-dua istilah ini, bahagian berikutnya nanti akan menghuraikan perihal istilah ETIKA dengan lebih terperinci.

Wednesday, January 10, 2007

Ahlan wa Sahlan 2007M & 1428H

Sedar tak sedar sudah 10 hari kita berada dalam tahun 2007M dan tidak sampai 10 hari lagi kita akan melangkah ke tahun 1428H. Sungguh cepat dirasakan masa berlalu…lebih-lebih lagi di saat terlalu banyak tugas yang menanti dan menuntut komitmen kita. Ya Allah berilah kami kekuatan!!!

Bagi sesetengah orang, kedatangan tahun 2007M & 1428H bermakna bertambahnya setahun lagi umur mereka. Masih berkesempatan untuk menyelesaikan tugas-tugas yang belum terlaksana dan memperbaharui azam yang belum tertunai di tahun sebelumnya. Mungkin atas dasar itulah kedatangan setiap kali ‘tahun baru’ dirai dan dirayakan dengan pelbagai bentuk sambutan yang melalaikan.

Bagi kita, kedatangan tahun 2007M & 1428H patut disambut dengan penuh rasa kesyukuran. Syukur kerana masih diberi peluang dan kesempatan untuk memperbaiki diri, meningkatkan amal ibadah, berbuat kebajikan, menambah ilmu dan sebagainya. Firman Allah s.w.t.;

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras". (Surah Ibrahim, 14:7)

Kedatangan tahun 2007M & 1428H juga patut diraikan dengan membuat muhasabah (post mortem) terhadap amalan-amalan yang telah dilakukan sepanjang tahun 2006M/1427H. Apakah ada pembaikian, lebih baik atau lebih teruk berbanding tahun sebelumnya? Berakhirnya tahun 2006M/1427H tidak bermakna segala amalan tersimpan begitu sahaja dalam lipatan kalendar 2006M/1427H. Hakikatnya, segala amalan buruk baik kita tersimpan rapi dalam buku catatan amal yang pasti akan dibuka semula suatu masa nanti. Sudahkah kita bersedia untuk menghadapi masa itu nanti? Kata-kata Sayyidina `Umar al-Khattab berikut wajar diambil iktibar;
“Hisablah diri kamu sendiri sebelum kamu dihisab (al-Ghazali, 1990).

Sebagai seorang Muslim, pelbagai perkara perlu dimuhasabahkan;

  • Sebagai hamba Allah, sudahkah kita mematuhi sungguh-sungguh segala perintah Allah dan Rasul? Melaksanakan perkara wajib dan sunat serta menjauhi perkara haram dan makruh seboleh mungkin?
  • Sebagai wanita, sudahkah kita menjaga maruah dengan memastikan aurat ditutup dan dipelihara betul-betul menurut piawaian yang telah ditetapkan syarak?
  • Sebagai anak, sudahkah kita menunaikan tanggungjawab terhadap kedua ibu bapa sebaik mungkin? Mentaati, berbakti dan mendoakan keduanya serta memuliakan sahabat-sahabat mereka?
  • Sebagai pelajar, sudahkah kita melaksanakan tanggungjawab terhadap guru dan ilmu yang diperolehi? Menghormati guru dan memanfaatkan ilmu pada jalan yang diredhai-Nya?
  • Sebagai warga masyarakat, sudahkah kita menunaikan hak terhadap rakan-rakan, jiran dan masyarakat keseluruhannya? Menghubungkan silaturrahim dan melaksanakan amar ma`ruf nahi munkar mengikut kemampuan?

Jika dihitung-hitung semuanya, cukup banyak tanggungjawab yang tergalas di bahu setiap daripada kita. Andai di dunia lagi kita dapati banyak tanggungjawab yang masih belum selesai, bagaimana mungkin kita hendak berhadapan dengan Allah s.w.t. nanti?

Oleh yang demikian, kedatangan tahun 2007M & 1428H ini sekurang-kurangnya berazamlah kita untuk memperbaiki dan mempertingkatkan diri dalam amal ibadah. Jika sebelum ini ada melewat-lewatkan penunaian solat fardhu, tahun ini berazamlah untuk menunaikannya pada awal waktu. Jika sebelum ini sering solat sendirian, tahun ini berazamlah untuk solat berjemaah. Jika sebelum ini jarang-jarang pegang al-Quran, tahun ini berazamlah untuk khatam al-Quran. Jika sebelum ini kurang berpuasa sunat, bersolat malam dan bersedekah, tahun ini berazamlah untuk melazimi diri dengan puasa sunat, solat malam dan sedekah. Begitu juga dengan amal ibadah lain yang dijanjikan dengan pelbagai bentuk ganjaran dan pahala di sisi-Nya. Bahkan ia merupakan suatu jalan untuk bertaqarrub dan mendapat kecintaan Allah s.w.t. sebagaimana yang dinyatakan dalam Hadith berikut;

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah s.w.t. telah berfirman: Barangsiapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku isytiharkan perang terhadapnya. Tidaklah seseorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan melakukan sesuatu amalan yang lebih Aku sukai selain daripada apa yang telah Aku fardhukan kepadanya. Dan tidaklah seorang hamba itu sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan mengerjakan amalan-amalan sunat, kecuali Aku akan mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, Aku adalah pendengarannya yang dia mendengar dengannya, penglihatannya yang dia melihat dengannya, tangannya yang dia mengambil sesuatu tindakan dengannya dan kakinya yang dia berjalan dengannya. Jika dia memohon sesuatu daripada-Ku, Aku akan memberinya dan jika dia memohon perlindungan daripada-Ku, maka Aku akan melindunginya". (Riwayat al-Bukhari)