Tuesday, December 26, 2006

ETIKA = NILAI = MORAL = NORMA?

(Bahagian II)
Di bahagian kedua ini, istilah NORMA dihuraikan.

Para sosiologi mendefinisikan norma sebagai suatu garis panduan dan peraturan kelakuan tentang bagaimana individu dalam sesebuah masyarakat sepatutnya berkelakuan dan bertindakbalas melalui percakapan mahupun perbuatan dalam sesuatu keadaan (Doob, 2000; Calhoun, 1994; Bryjak, 1994). Hanya peraturan yang telah diterima baik dan dipatuhi oleh setiap anggota masyarakat sehingga menjadi kebiasaan sahaja diiktiraf sebagai norma. Hal ini kerana norma berperanan untuk mengawal kelakuan anggota masyarakat, mentakrifkan secara jelas bentuk perhubungan dalam masyarakat dan mencerminkan nilai-nilai yang dipegang oleh masyarakat tersebut (Citra Karya, 1994).

Norma terbentuk daripada nilai dan sikap individu dalam masyarakat itu sendiri. Nilai yang dipegang oleh individu akan membentuk sikap diri terhadap sesuatu perkara. Sikap tersebut seterusnya membentuk peraturan-peraturan hidup yang dinamakan sebagai norma masyarakat. Oleh kerana itu, kebanyakan norma dilihat sebagai multi-nilai iaitu mengandungi pelbagai nilai dan nilai yang sama turut boleh digunapakai oleh anggota masyarakat yang lain bagi memudahkan perhubungan antara mereka (International Encyclopedia of Social Sciences, 1968).

Perbezaan nilai dan sikap individu-individu dalam masyarakat akan melahirkan norma yang berbeza mengikut agama, kepercayaan dan cara hidup mereka sendiri. Sebagai contoh, berdebat dengan nada suara yang tinggi di khalayak ramai adalah norma yang diterima baik dalam masyarakat Barat, tetapi perbuatan sedemikian dianggap tidak sopan di kalangan masyarakat Melayu khususnya. Asimilasi antara nilai, sikap dan norma pula akan membentuk etika bagi seseorang individu mahupun sekelompok individu yang berada dalam organisasi, pertubuhan dan sebagainya. Bahagian berikutnya nanti akan memperincikan perihal istilah ETIKA ini...

Monday, December 18, 2006

Lebih daripada sekadar Persidangan...

Persidangan Siswazah ISDEV II yang berlangsung di USM pada minggu lepas (12-13 Disember), pada hemat saya memberi manfaat yang cukup besar kepada para peserta. Paling tidak, Persidangan ini memberi ilmu dan pengalaman berharga kepada diri saya sendiri.

Dari segi ilmu, Persidangan selama 2 hari ini telah dimuatkan dengan pelbagai pengisian ilmiah. Ia terdiri daripada ucap utama oleh penceramah jemputan, pembentangan oleh para pembentang yang rata-ratanya terdiri daripada para siswazah ijazah tinggi, ulasan kertas kerja oleh para pensyarah jemputan dan juga sesi plenari selaku sesi penggulungan kepada ulasan-ulasan terdahulu.

Apa yang paling terkesan di hati saya adalah intipati daripada ucap utama yang disampaikan oleh Profesor Muhammad Syukri Salleh, Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam (ISDEV) sendiri. Beliau mengetengahkan 5 kriteria yang perlu dimiliki oleh seseorang siswazah, iaitu:
1. kemahiran berfikir
2. kemahiran menyelidik
3. kemahiran menulis
4. kemahiran beramal
5. kemahiran berorganisasi.

Kombinasi kelima-lima kemahiran ini akan melahirkan seorang siswazah yang berjaya dalam erti kata yang sebenar, iaitu berjaya mendapat ijazah yang dicita-citakan serta berjaya mendapat ilmu-ilmu baru untuk diamalkan dalam kehidupan. Imam Syafi`iy pernah berkata:
“Sesiapa yang berkehendakkan dunia, hendaklah dengan ilmu. Sesiapa yang berkehendakkan akhirat, hendaklah dengan ilmu. Sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya, hendaklah dengan ilmu.”

Kelima-lima kemahiran ini juga dilihat cukup signifikan selama mana seseorang itu bergelar ahli akademik. Hakikatnya, bukan mudah menjadi ahli akademik. Tergalas di bahunya tanggungjawab yang amat berat – tanggungjawab terhadap Allah dan Rasul, tanggungjawab terhadap pelajar, tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat keseluruhannya. Di sebalik tanggungjawab berat ini, termaktub ganjaran yang amat besar sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.;
“Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim)

Ganjaran besar yang dijanjikan tersebut wajar dijadikan sebagai motivasi kepada para ahli akademik untuk terus menunaikan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah. Gelaran sebagai ahli akademik tidak dilihat sebagai satu kerjaya semata-mata, tetapi ia patut dilihat sebagai satu peluang untuk memperoleh ganjaranNya yang berkekalan demi kebahagiaan di akhirat kelak.

Dari segi pengalaman pula, Persidangan ini secara tidak langsung telah memberi peluang kepada saya untuk menimba pelbagai bentuk pengalaman;
- pengalaman menulis kertas kerja,
- pengalaman membentang kertas kerja,
- pengalaman mempengerusikan majlis,
- pengalaman bekerja secara kolektif, dan
- pengalaman bersilaturrahim dengan rakan-rakan peserta yang lain.

Atas dasar tersebut, saya benar-benar merasakan Persidangan ini memang patut diteruskan pada masa-masa akan datang dengan pengurusan yang lebih sistematik agar manfaatnya dapat disebarluaskan lagi.